suria

Perhilitan Rampas Haiwan Eksotik Bernilai RM106,000

GEORGE TOWN: Jabatan Perhilitan Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup haiwan eksotik dengan merampas 94 ekor tenggiling bernilai RM106,000 di Kompleks Kargo Udara Kedua (KLAS), Batu Maung awal pagi Jumaat.

Pengarah Perhilitan negeri Jamalun Nasir Ibrahim berkata rampasan dilakukan dengan kerjasama Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri, susulan pemeriksaan terhadap sebuah lori kontena pada pukul 1 pagi.

Beliau berkata rampasan itu adalah kali kedua dengan menggunakan modus operandi yang sama dan rampasan itu adalah yang terbesar setakat ini.

"Taktik licik penyeludup mencampurkan 49 kotak berisi ketam hidup dengan haiwan terbabit berjaya dikesan apabila kotak itu mengeluarkan bunyi aneh dan bergerak dengan sendiri. Setelah diperiksa hanya enam kotak mengandungi ketam," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata penyeludupan daripada sindiket dari Kota Kinabalu itu dipercayai untuk dipasarkan di kedai makan di semenanjung dan untuk eksport ke luar negara.

"Mengikut harga pasaran semasa, harga seekor tenggiling dari spesis Manis Javanica itu boleh mencecah sehingga RM220 sekilogram," katanya.

Jamalun berkata dalam kes berasingan, sepasukan pegawai dari unit perlesenan jabatan itu telah menyerbu sebuah premis menjual haiwan eksotik yang beroperasi secara haram di Bukit Mertajam, Seberang Perai dan menahan seorang lelaki berusia 50 tahun lewat petang Khamis.

Beliau berkata pada serbuan pukul 6.30 petang itu, jabatan berkenaan telah merampas 103 ekor kura-kura dari pelbagai spesis dilindungi bernilai lebih RM7,000.

Katanya, siasatan awal mendapati haiwan itu dipercayai untuk tujuan dipelihara dan dijadikan makanan.

"Lelaki terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut seksyen 37 (1) Akta Pemuliharan Hidupan 2010 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata kesemua haiwan terbabit akan dilepaskan semula di hutan simpan kawasan utara Semenanjung secara berperingkat secepat mungkin. -BERNAMA

Artikel Lain