suria

Mayat Pembantu Rumah Warga India Hampir Rentung Ditemui Dalam Stor

GEORGE TOWN: Mayat seorang pembantu rumah warga India yang hampir rentung ditemui dalam sebuah stor bersebelahan rumah majikannya di Taman Pekaka di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa yang berusia 20-an itu baru dua bulan bekerja di negara ini dan mayatnya ditemui anak lelaki majikannya pada 9 pagi tadi.

"Wanita itu ditemui dalam keadaan 90 peratus terbakar dan terbaring dalam stor berkenaan, dan dia dipercayai baru pertama kali datang ke negara ini dengan menggunakan permit yang sah.

"Majikan mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong pagi tadi, dan hasil pemeriksaan awal, polis menjumpai sekotak mancis dan dua botol minyak tanah berhampiran mayat mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis masih menyiasat kes itu, dan setakat ini tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut, dan setakat ini tidak ada tangkapan dilakukan. - BERNAMA

Artikel Lain