suria

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Selar Kenyataan Irene Fernandez

PUTRAJAYA: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia pada Khamis menyelar kenyataan Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez bersabit keselamatan pekerja Indonesia di negara ini, yang disifatkan amat berbahaya dan boleh mengancam ekonomi negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Sh. Yahya Sh. Mohamed berkata kenyataan itu juga bercanggah dengan dasar dan undang-undang negara, seolah-olah negara mengabaikan kebajikan dan perlindungan terhadap pekerja asing.

"Sebarang kenyataan yang dibuat di Indonesia tanpa fakta yang jelas sangat dikesali kerana boleh memberi kesan negatif. Beliau sepatutnya tidak memburukkan negara ini.

"Ia juga boleh membantutkan pertumbuhan industri baru dan akhirnya akan menyebabkan peningkatan pengangguran. Adakah objektif beliau ingin melihat Malaysia bergolak dan ekonominya tidak berkembang,?" katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kenyataan yang dibuat Fernandez dalam temu bual berbentuk soal jawab yang disiarkan The Jakarta Post pada Isnin lepas, yang antara lain mendakwa Malaysia sebuah negara yang tidak selamat untuk pekerja Indonesia kerana tiada undang-undang khusus menjaga kebajikan pekerja.

Mengulas lanjut, Sh. Yahya berkata Akta Kerja 1955 tidak membezakan tanggungjawab majikan ke atas pekerja tempatan atau asing manakala Seksyen 60L juga tidak membenarkan diskriminasi terhadap pekerja asing.

Setiap majikan yang menggaji pekerja asing juga diwajibkan melapor kepada Jabatan Tenaga Kerja dalam tempoh 14 hari penggajian, bagi membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan dibuat terhadap majikan serta memastikan pekerja asing mendapat perlindungan sewajarnya.

Selain itu jabatan berkenaan turut membuat pemeriksaan penguatkuasaan terhadap industri, penyiasatan aduan termasuk tindakan kompaun dan pendakwaan terhadap majikan yang ingkar, katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 53,055 majikan telah diperiksa di mana 106 majikan didakwa dan 136 dikompaun, manakala pada tahun ini, sebanyak 7,810 majikan diperiksa dengan 328 kesalahan dikesan dan 102 didakwa di mahkamah.

Berhubung dakwaan warga asing yang bekerja di sini didera secara fizikal dan dirogol majikan, Sh. Yahya berkata dakwaan itu sangat keterlaluan seolah-olah Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang untuk mengekangnya.

Beliau berkata Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan diikuti persetujuan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Malaysia dan Indonesia adalah mekanisme terbaik dalam menjaga kebajikan mereka.

Antara yang dipersetujui ialah kadar gaji mengikut pasaran, cuti sehari dalam seminggu, menyimpan sendiri pasport serta gaji dibayar terus ke dalam akaun, kata beliau.

Mengenai aspek perlindungan pekerja asing di negara ini, Sh. Yahya berkata Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja sentiasa bekerjasama bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap majikan yang membuat kesalahan.

"Bagaimana dia kata negara kita tidak selamat sedangkan pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk menjaga kebajikan pekerja asing. Sehingga 31 Dis tahun lepas, 50 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di Malaysia adalah warga Indonesia," katanya.

Selain itu Sh. Yahya berkata beliau juga tidak faham dari mana Fernandez mendapat maklumat mendakwa pekerja ladang tidak tertakluk kepada gaji minimum yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas, sedangkan pekerja sektor itu akan mendapat gaji minimum itu. - BERNAMA

Artikel Lain