suria

Golongan Muda Mahu Pemimpin Lebih Kerap Turun Padang

KUALA LUMPUR: Turun padang dan beri penjelasan berhubung isu-isu semasa secara bersemuka, itu antara permintaan golongan muda terhadap pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih.

Golongan muda yang ditemui Bernama ketika menghadiri sambutan Ulang Tahun Umno ke-66 di perkarangan Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini hari ini, melontar pandangan mereka secara jujur kerana berpendapat ia mampu memberi kebaikan sekiranya diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Fatihah, 23, berkata golongan seusianya dahagakan penjelasan mengenai isu semasa daripada pemimpin atau wakil rakyat yang dipilih.

"Kami memang mengikuti perkembangan media dan elektronik tapi penjelasan dari akar umbi juga penting...contohnya mengenai pelan ekonomi kerajaan, usaha mengatasi penggangguran dan apa peranan yang boleh kami hulurkan bagi mengatasi masalah sosial," katanya.

Beliau yang menyertai rombongan perwakilan Puteri Umno dari Pokok Sena, Kedah itu turut mahukan Umno, secara khususnya menganjurkan lebih banyak program untuk golongan muda dalam usaha mendekati bakal pimimpin negara itu serta membolehkan mereka memahami politik negara dengan jelas. Anggota Pemuda Umno Pokok Sena, Mohd Fazir Yahya, 38, pula berkata ketika ini, pemikiran golongan muda '50-50' mengenai siapa yang patut mereka dengar dan percaya apabila timbulnya sesuatu isu besar.

Menurutnya situasi 50-50 itu dapat dielak jika pemimpin sendiri turun padang menjelaskan keadaan sebenar selain menangkis tohmahan palsu pembangkang.

Ahmad Talib, 25, dari Kemaman, Terengganu pula berkata pilihan raya umum kali ini merupakan yang pertama bagi beliau mengundi.

"Ketika ini banyak program hanya untuk kanak-kanak dan orang tua namun kurang program yang dianjurkan untuk golongan belia," katanya.

Beliau berkata apabila program untuk golongan belia kurang maka peluang untuk mereka menemui ahli politik atau mereka yang berpengalaman dalam politik yang boleh membantu mereka membuat pilihan pada pilihan raya kelak juga akan kurang.

Pendapat beliau turut disokong rakannya, Affendi Yusof, 21, seorang penuntut dalam bidang kemahiran, yang berpendapat pemimpin perlu turun ke kawasan pedalaman yang jarang dilawati memandangkan maklumat mengenai program kerajaan dan isu semasa tidak diterima dengan betul dan jelas.

Beliau berkata masyarakat mahu bersemuka dengan pemimpin di kedai kopi dan tempat pertemuan umum dan bukannya hanya datang apabila tiba pilihan raya atau masalah berkaitan kemudahan rakyat diadukan. -BERNAMA

Artikel Lain