suria

Exco AMK Didakwa Langgar Perintah Mahkamah

KUALA LUMPUR: Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Farhan Ibrahim @ Alias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April hingga 1 Mei lepas.

Farhan, 29, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu dia bersama penyokong "Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil" (Bersih 3.0) hadir di perhimpunan yang dilarang dan mungkin boleh menyebabkan rusuhan ataupun pergaduhan di Dataran Merdeka pada 28 April.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3 petang.

Bagi pertuduhan melanggar perintah mahkamah, Farhan seorang pemandu van didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Farhan merupakan individu ketiga yang didakwa selepas peguam kanan Rajesh Kumar Gejinder Nath dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Rasah Negeri Sembilan R. Tangam.

Hakim Mahmud Abdullah membenarkan Farhan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran manakala Farhan diwakili peguam Yusmadi Yusoff dan Shamsul Iskandar. - BERNAMA

Artikel Lain