suria

Suspek Kes Samun Petani Di Besut Berjaya Diberkas

KUALA TERENGGANU: Dua belas buruh warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan kes samun di rumah seorang petani di Kampung Bukit Tanah, Tembila, Besut, Selasa lalu.

Kesemua warga asing yang bekerja di daerah Besut dan Setiu itu ditahan dalam satu operasi khas yang dilancarkan sejurus selepas menerima laporan berhubung kejadian samun tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata daripada jumlah itu, polis mengenal pasti tiga suspek lelaki berusia lingkungan 17 dan 25 tahun yang dipercayai terlibat melakukan samun tersebut di sebuah ladang sawit di Kampung Gong Batu, Setiu pada kira-kira 3 pagi hingga 12.45 tengah hari Rabu.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga lelaki pernah terlibat dalam beberapa kes samun di negeri itu dan mereka yang ditahan dipercayai mengenali seorang lagi suspek yang sedang diburu.

Katanya, semua suspek kini direman sehingga 15 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Pada Rabu, Bernama melaporkan seorang petani disamun tiga lelaki dipercayai warga Indonesia yang melarikan tiga utas rantai leher, seutas gelang tangan, sebentuk cincin dan sepasang subang serta wang tunai berjumlah RM500, selain empat telefon bimbit di Besut.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa Shafie Mohamad, 46, dan isterinya Hasniah Mat Hassan, 39, yang sedang tidur bersama anak berusia empat tahun, terkejut apabila dibangunkan tiga lelaki di bilik tidur mereka.

Penjenayah berkenaan memasang lampu sambil menghunuskan parang panjang ke leher Shafie.

Keluarga malang itu turut diikat penyamun berkenaan dengan wayar.

Artikel Lain