suria

Suspek Kes Samun Maut Selepas Dilanggar Sebuah Kereta Di MRR2 Kepong

KUALA LUMPUR: Seorang suspek kes samun maut selepas dilanggar oleh sebuah kereta ketika cuba melarikan diri setelah menyamun Stesen Shell MRR2 Kepong menghala ke bulatan Batu Caves, Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, suspek yang dikenali sebagai Noor Falah Raizam Ismail, 31, dari Bandar Baru Sungai Buloh, cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal selepas ternampak kereta peronda polis.

Suspek yang mempunyai 23 rekod lampau dengan sebanyak 19 kes samun, telah melarikan diri menuju ke jalan besar tiba-tiba dilanggar sebuah kereta, katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata lelaki itu yang patah kaki kirinya telah ditahan oleh anggota peronda polis apabila seorang pekerja warga Bangladesh Stesen Shell itu melaporkan kepada mereka bahawa suspek baru sahaja menyamun stesen minyak itu dan melarikan wang tunai sebanyak RM1,500.

Zakaria berkata polis peronda telah membawa suspek ke Hospital Selayang untuk rawatan, dan kemudian meninggal dunia di hospital itu.

"Punca kematian dipercayai akibat kemalangan jalanraya itu, dan keputusan post-mortem masih belum diketahui," katanya.

Zakaria berkata polis turut merampas sebuah motosikal, sebilah parang dan wang tunai RM1,115 daripada mangsa, dan sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan juga di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA

Artikel Lain