suria

Suami Isteri Tinggal Sehelai Sepinggang Kediaman Terbakar

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Taman Setar II, Alor Mengkudu di sini musnah dijilat api, pagi Khamis.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu memusnahkan semua barangan dalam rumah tersebut termasuk perabot dan peralatan elektrik.

Mangsa, Chan Chin Yeet, 50, berkata ketika kejadian dia berada di rumah menyediakan kuih pau dan dim sum untuk dijual petang ini manakala suaminya, Chong Chee Keong, 56, berada di luar rumah.

Menceritakan kejadian itu, Chan berkata semasa di ruang tamu, beliau tiba-tiba melihat api marak berhampiran dapur.

"Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting dan terus lari keluar rumah menyelamatkan diri dan meminta pertolongan daripada jiran," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Naza Citra yang berada di tempat letak kereta di rumah tersebut selamat dalam kebakaran tersebut.

Pasangan itu mempunyai tiga anak tetapi kesemuanya tinggal di tempat lain.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Raja, Mohd Faizal Zainol Halim berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.30 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

Tiga jentera dan 14 anggota yang dikejarkan ke tempat kejadian dapat mengawal api daripada merebak ke rumah lain pada pukul 11.45 pagi, katanya.

Mohd Faizal berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain