suria

Sepasang Suami Isteri Terselamat Dalam Kejadian Tanah Runtuh

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri warga emas nyaris maut selepas rumah mereka ditimbus tanah runtuh di Kampung Kiau Taburi, Kota Belud dekat sini Rabu.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mengakibatkan dua buah rumah tertimbus termasuk sebuah rumah tidak berpenghuni.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd. Affendi K. Ramin berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.42 pagi dan sepasukan anggota dengan sebuah jentera Balai Bomba Kotan Belud kemudian tiba di lokasi pada kira-kira sejam kemudian.

"Rumah milik pasangan terbabit tertimbus 70 peratus, bagaimanapun kedua-dua mereka terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya di dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, wakil Ketua Anak Negeri, Tambunan Asang ketika ditemui pemberita di tempat kejadian berkata lebih 3,000 penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Kiau Nulu, Kampung Kiau Bersatu dan Kampung Kiau Teburi terputus hubungan ekoran kejadian itu.

"Kejadian itu juga turut menyebabkan ratusan pelajar terpaksa melalui laluan alternatif di kawasan hutan yang mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke jalan utama," katanya.

Difahamkan, jalan berkenaan yang terletak kira-kira 24 kilometer dari pekan Kota Belud mulai retak akibat tanah runtuh daripada bukit berhampiran sejak beberapa hari lepas.

Tinjauan Bernama turut mendapati jalan itu runtuh sedalam kira-kira 500 meter tidak dapat dilalui kenderaan sejak petang semalam dan penduduk kampung terpaksa meletakkan kenderaan mereka di kawasan selamat sebelum meneruskan perjalanan ke pekan Kota Belud atau Kundasang.

Sementara itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam kenyataannya berkata kejadian tanah runtuh di Kampung Kiau Taburi yang terletak lebih kurang 60 kilometer daripada Pekan Tuaran turut mengakibatkan lebih 30 buah rumah terputus bekalan elektrik sejak pukul 5.44 pagi tadi.

Pengarah Urusannya, Abd Razak Sallim berkata siasatan awal mendapati 10 batang tiang elektrik voltan tinggi (high voltage) milik SESB di kawasan berkenaan turut sama rosak dan perlu diganti segera.

"Anggota siap sedia SESB telahpun dihantar serta merta ke lokasi kejadian. Namun begitu, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik tidak dapat dilaksanakan serta merta kerana didapati jalan ke kawasan berkenaan telah putus dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan berat seperti lori dan set janakuasa bergerak.

Katanya, anggaran kerugian ditanggung oleh pihak SESB ekoran daripada kejadian ini adalah sebanyak RM30,000. - BERNAMA

Artikel Lain