suria

RUU Kesalahan Pilihan Raya Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Rabu mengumumkan untuk menarik balik Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 yang diluluskan Dewan Rakyat pada April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan menarik balik rang undang-undang tersebut dibuat atas persetujuan kabinet, pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Mohamed Nazri, selepas penarikan itu, SPR akan terus mengguna pakai akta sedia ada iaitu Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Saya akan bentangkan usul kerajaan bagi menarik balik usul berkenaan di peringkat Dewan Negara esok (Khamis)," katanya pada sidang media lobi Parlimen di sini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah wakil pembangkang, Lim Kit Siang.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas kabinet mempertimbangkan bantahan pelbagai pihak termasuk Barisan Nasional (BN), pembangkang dan orang ramai.

Katanya ketika rang undang-undang itu dibentangkan di Dewan Negara, terdapat pelbagai bantahan termasuk cadangan bagi membuat pindaan terhadap dua seksyen dalam akta berkenaan.

"Sebelum ini diperingkat Dewan Rakyat juga terdapat tiga pindaan yang ingin dibuat. Sekarang di peringkat Senator juga ingin buat pindaan dua lagi seksyen.

"Kalau ia diluluskan bermakna rang undang-undang ini akan kembali kepada Dewan Rakyat.

"Jadi kerajaan berpendapat adalah lebih baik jika cadangan akta ini ditarik balik keseluruhannya," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan tidak membuat kajian yang menyeluruh sebelum membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen pada sesi lalu, Mohamed Nazri berkata cadangan pindaan tersebut dibuat sepenuhnya oleh SPR.

Jelasnya kerajaan tidak masuk campur terhadap urusan SPR sebagai badan pengendali pilihan raya yang bebas.

"Kita memang tidak masuk campur, kalau pada peringkat awal kita lihat dan bantah...ia menunjukkan SPR tidak bebas dan dipengaruhi kerajaan.

"Berdasarkan undang-undang pindaan terhadap sesuatu akta perlu dibuat oleh kerajaan, jadi bagi tujuan itu kerajaan seperti posmen dan setuju untuk membentangkannya," katanya.

Ditanya sama ada SPR akan membuat cadangan bagi mengemukakan rang undang-undang baru dalam masa terdekat, Mohamed Nazri berkata: "Saya tak fikir ada, jadi akta lama akan digunapakai seperti biasa.

"Namun selepas ini SPR wajar mengumpul maklumat daripada orang ramai mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya...SPR harus lakukannya, bukan kerajaan.

"Kerajaan tak boleh buat kerana apa jua cadangan oleh SPR, kita (kerajaan) kena terima dan bentangkan di Parlimen untuk dibahaskan. Kita perlu jaga integriti SPR sebagai badan bebas."

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, pembangkang menyambut baik keputusan menarik balik rang undang-undang berkenaan.

Menurut penasihat DAP itu, walaupun Dewan Rakyat sebelum ini meminda tiga seksyen dalam akta itu, pembangkang tetap tidak berpuas hati kerana kandungan rang undang-undang itu boleh mengganggu proses pilihan raya yang bersih dan adil.

"Tarik balik rang undang-undang tersebut adalah langkah yang baik buat masa ini.

"Namun saya harap SPR akan menjalankan kajian terpeinci dan mempertimbangkan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi memastikan pilihan yang bersih dan adil dapat dilaksanakan," katanya.

April lalu Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 yang antara lain menggugurkan pemerhati barung bagi pihak parti politik.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibahas selama lebih tujuh jam.

Artikel Lain