suria

Lelaki Dilapor Hilang Di Hutan Taman Rimba Templer

KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif sebuah syarikat cari gali minyak dan gas tempatan dilaporkan hilang selepas keluar mendaki bukit di Hutan Taman Rimba Templer, Rawang, dekat sini, petang Rabu.

Hardip Singh, 51, dipercayai hilang kira-kira 5.30 petang selepas memberitahu keluarganya ingin keluar mendaki bukit secara bersendirian.

Sepupu mangsa, Mohinder Singh, 43, berkata keluarga Hardip membuat laporan di Balai Polis Selayang pagi tadi dan pasukan mencari dan menyelamat berusaha mengesan lelaki itu sejak 2.30 petang Khamis.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada unit anjing pengesan K9, bomba dan renjer hutan digerakkan untuk mengesan mangsa, dan setakat 5.30 petang, usaha mencari masih diteruskan, katanya ketika dihubungi, Khamis.

Mohinder Singh berkata hujan lebat sejak semalam sedikit sebanyak menyukarkan usaha mencari mangsa yang telah hilang lebih 24 jam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa.

"Kita percaya mangsa sesat di hutan tersebut, kerana mangsa pergi secara bersendirian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain