suria

Kerajaan Teliti Undang-Undang Pekerja Asing UAE Sesuai Dilaksana Di Malaysia - Muhyiddin

ABU DHABI: Kerajaan sedang meneliti undang-undang pekerja asing di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sama ada ia sesuai dilaksanakan di Malaysia atau tidak, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya perkara itu dibangkitkan dan dibincangkan dengan panjang lebar dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri UAE Sheikh Saif Zayed Al Nahyan, yang juga Menteri Dalam Negeri sempena lawatan rasminya ke UAE bermula Isnin lepas.

"Saya telah minta contoh undang-undang mereka macam mana, nak dilihat sama ada sesuai atau tidak digunakan di Malaysia.

"Cara bagaimana mereka uruskan. (UAE) ada juga pengalaman serupa di mana (orang asing) masuk dan hilang," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatannya ke sini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin berkata penggubalan undang-undang berkaitan pekerja asing di UAE mengambilkira jumlah pekerja asing yang ramai.

UAE mempunyai penduduk seramai 1.2 juta orang manakala pekerja asing pula lima juta.

Beliau berkata Malaysia dan UAE juga bertukar-tukar pengalaman mengenai isu pekerja asing termasuk sistem untuk mengesan menggunakan undang-undang khusus yang dipunyai negara Arab itu.

Mengenai pertemuannya dengan Menteri Pelajaran UAE Humaid Mohammed Obaid Al-Qatami, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia berkata satu bentuk kerjasama akan diwujudkan melalui memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan.

"Pada masa ini terdapat satu MoU untuk pendidikan tinggi dengan UAE tapi belum diselesaikan...kita bincangkan MoU berhubung kait dengan pendidikan di peringkat sekolah menengah dan rendah di Malaysia.

"Apabila MoU ini disediakan nanti kita akan tetapkan skop dan bidang kerjasama seperti latihan perguruan , ko-kurikulum dan tingkatkan mutu pendidikan dan pelajaran kita," katanya.

Mengenai Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan 2012 yang julung kali diadakan, beliau menyifatkan ia bertepatan dengan masa kerana Malaysia juga di dalam proses yang sama.

Katanya, ini bermakna soal pendidikan adalah isu penting di kalangan hampir semua negara di mana soal pokoknya ialah kualiti pendidikan dan bukan hanya sistem.

Muhyiddin berkata proses kajian semula adalah penting kerana negara menghadapi zaman globalisasi yang lebih mencabar yang mana pendidikan itu bukan setakat pendidikan biasa tetapi mesti berinovasi dan berasaskan ilmu pengetahuan.

"Atas dasar itu apa yang kita laksanakan itu dapat penuhi tuntutan pembangunan yang berlaku selama ini...kalau nak tengok masa hadapan kita kena lihat lebih menyeluruh," katanya.

Bahkan, katanya, sesetengah negara lebih maju daripada Malaysia juga melihat semula sistem pendidikannya dan berlumba-lumba untuk melakukan transformasi.

Beliau berkata proses kajian semula yang sedang berjalan bukan sahaja membabitkan pihak dalaman sahaja malah pelantikan pakar-pakar berpengalaman dan ahli panel antarabangsa di samping bantuan Bank Dunia, Unesco turut diambilkira untuk membantu.

Mengenai Dialog Pendidikan Nasional, beliau berkata kerajaan tidak membataskan hanya kepada peringkat sekolah tertentu kerana pendidikan pra-sekolah juga terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran.

Katanya kementerian juga mengambil kira untuk meningkatkan kualiti termasuk soal guru pra-sekolah, yang pada masa ini ada di antaranya tidak berkelulusan tinggi.

"Sampai di satu peringkat nanti kita perlukan guru-guru ini terlatih setidak-tidaknya mempunyai diploma kalau tidak pun ijazah...mesti ada proses yang agak lama," katanya.

Beliau berharap pengusaha pra-sekolah sedia ada agar sebaik-baiknya mengambil guru berijazah atau sekurangnya diploma yang sememangnya terlatih dalam membimbing pelajar di peringkat berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain