suria

Keputusan Penulis Pojok Tidak Diberi Lanjutan Masa Fail Pembelaan Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan penulis pojok akhbar The Sun 'Citizen Nades' atau R. Nadeswaran untuk pelanjutan masa bagi memfailkan pembelaan dalam saman fitnah terhadapnya oleh seorang ahli perniagaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin sebulat suara menolak rayuan Nadeswaran selepas memutuskannya sebagai akademik.

Dalam penghakimannya, Hakim Abu Samah berkata tidak ada justifikasi atau material di depan mahkamah bagi mengganggu kuasa budi bicara yang diguna pakai Hakim Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk tidak membenarkan lanjutan masa ekoran perlakuan dan sikap Nadeswaran.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, memerintahkan Nadeswaran membayar RM15,000 sebagai kos perundangan.

Nadeswaran mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 September tahun lepas yang menolak permohonannya untuk pelanjutan masa bagi memfailakn pembelaan.

Beliau terlewat enam minggu setengah untuk berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 24 Oktober tahun lepas untuk meneruskan perbicaraan.

Bagaimanapun, tiga hari sebelum itu, Nadeswaran mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk menggantung prosiding tersebut namun ditolak pada 20 Oktober 2011.

Perbicaraan kes itu kemudian berlangsung tanpa pembelaan Nadeswaran dan Hakim Mahkamah Tinggi Amelia Tee Hong Geok Abdullah menangguhkan keputusannya.

Pada 27 April lepas, hakim berkenaan memutuskan bahawa Nadeswaran perlu membayar ganti rugi RM500,000 kepada Datuk Mohamad Salim Fateh Din kerana fitnah di laman Twitter.

Terdahulu, peguam Lim Chee Wee yang mewakili Nadeswaran berkata anak guamnya hanya meminta diberikan peluang untuk membela diri.

Lim berkata peguam Nadeswaran sebelum ini juga mengaku dalam affidavit serta selain bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya kerana tidak memfailkan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan kerana salah faham mengenai tarikh dan perayu tidak sepatutnya dipersalahkan atas kesilapan itu.

Bagaimanapun, peguam Dhinesh Bhaskaran yang mewakili Mohamad Salim berkata perkara itu menjadi akademik kerana Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan.

Beliau berkata Nadeswaran sepatutnya menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff dan meminta rayuannya dipercepatkan sebelum Mahkamah Tinggi membuat keputusan, namun beliau tidak berbuat demikian.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 31 Januari tahun lepas, Mohamad Salim yang juga Pengarah Urusan Gapurna Group of companies, mendakwa Nadeswaran, membuat kenyataan berunsur fitnah berhubung status bumiputeranya menerusi akaun Twitter peribadi penulis itu. - BERNAMA

Artikel Lain