suria

Dua Lelaki Disyaki Pengedar Dadah Diberkas

KUANTAN: Dua lelaki yang disyaki pengedar dadah berjaya diberkas selepas polis menyerbu bilik sewa mereka di Jalan Tun Ismail di sini, yang turut dijadikan markas membungkus dadah.

Dalam serbuan pukul 9.11 malam kelmarin, polis turut merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 28 gram bernilai RM2,000, disyaki untuk diedarkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Air Putih, di sini.

Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan mengambil masa hampir setengah sebelum berjaya memberkas suspek, apabila kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 39 tahun bertindak agresif, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supt Yap Thoon Khuan pada sidang media, di sini Khamis.

Seorang daripada lelaki terbabit juga disahkan positif dadah, katanya menambah kedua-dua suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain