suria

Dewan Negara Terima Penarikan Balik Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Dewan Negara pda Khamis dimaklumkan mengenai penarikan balik pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 19 April lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong memaklumkan perkara itu ketika Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mempengerusikan sesi awal perbahasan usul.

"Tan Sri Yang Dipertua, menurut peraturan mesyuarat 61, saya mohon memaklumkan untuk menarik balik Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebagaimana yang dijadualkan di nombor tujuh dalam aturan urusan mesyuarat hari ini (Khamis)," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika mengumumkan perkara itu pada Rabu, berkata penarikan balik itu dibuat kerana mendapat tentangan daripada Anggota Parlimen pihak kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata persetujuan menarik balik Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Kesalahan Pilihan Raya itu dicapai secara bersama antara kerajaan, pihak pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu mesyuarat, Rabu.

Dibentangkan pada 9 April lepas, pindaan berkenaan bertujuan menambah baik proses pengundian termasuk menjauhkan lagi tempat bagi orang ramai menunggu atau berada dekat pusat mengundi pada hari mengundi dari 50 meter kepada 100 meter kecuali bagi mereka yang masuk untuk mengundi.

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang tersebut pada 19 April setelah dibahaskan oleh Anggota Parlimen selama tujuh jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pula berkata keputusan itu mencerminkan keterbukaan dan kejujuran kerajaan untuk mendengar dan menerima pandangan semua pihak termasuk anggota Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional yang turut membangkitkan isu tersebut secara dalaman.

Presiden Gerakan itu juga berharap agar penarikan semula rang undang-undang itu tidak dipolitikkan sebaliknya dilihat sebagai sesuatu yang positif bahawa kerajaan dan pembangkang boleh mencapai persefahaman dalam isu yang melibatkan kepentingan umum.

"Ini mencerminkan bahawa institusi-institusi dalam sistem demokrasi berparlimen telah memainkan peranan untuk menseimbangkan pandangan dan kepentingan semua pihak," katanya.

Mengenai kebimbangan pembangkang berhubung pelantikan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar sebagai Pengerusi Panel Penasihat Bebas bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian rusuhan di ibu negara berikutan penganjuran perhimpunan pada 28 April lepas, Koh berkata panel itu seharusnya dilihat daripada komposisi keanggotaannya dan bukannya individu.

Katanya dengan pelantikan beberapa pihak yang boleh dianggap sebagai berkecuali, beliau percaya panel itu akan menjalankan tugas yang diamanahkan secara profesional.

"Ini memang satu panel yang boleh dikatakan seimbang, yang penting bukan sahaja pengerusi tetapi komposisi dan keanggotaan panel tersebut yang boleh dikatakan mewakili semua pihak," katanya.

Selain Hanif, penubuhan panel itu yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam, turut dianggotai bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian Datuk Husammuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah, dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail. - BERNAMA

Artikel Lain