suria

DAP Tidak Lanjut Tempoh Senator Tunku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Ekoran kenyataannya yang menolak perhimpunan jalanan di bandar raya baru-baru ini, DAP tidak melanjutkan tempoh keanggotaan Dewan Negara yang disandang Naib Presiden parti Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Perkara itu disahkan oleh Tunku Abdul Aziz sendiri kepada Bernama ketika ditanya mengenai laporan portal berita bahawa tempoh keanggotaan beliau sebagai Senator, yang akan berakhir pada 30 Mei ini, tidak akan diperbaharui.

"Ya, perkara itu (tidak dilantik semula) benar. Itu cuma pengorbanan yang kecil," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis jamuan perpisahan bagi meraikan anggota Dewan Negara yang tamat tempoh perkhidmatan di bangunan Parlimen di sini.

Tunku Abdul Aziz mengesahkan bahawa ia adalah susulan kenyataannya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara 24 April lepas yang secara terbuka menolak perhimpunan dirancang badan bukan kerajaan dan disokong pembangkang di Kuala Lumpur 28 April lepas.

Tunku Abdul Aziz menyertai DAP pada 2008 dan dilantik sebagai Senator pada 2009 bagi kuota kerajaan negeri Pulau Pinang.

Terdahulu dalam ucapannya, Tunku Abdul Aziz berkata semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan berbanding parti kerana parti hanyalah ciptaan.

Ketika dilantik menganggotai Dewan Negara, beliau tidak melihat dirinya sebagai anggota pembangkang sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang diberi peluang berkhidmat untuk negara.

Dengan nada berseloroh, beliau berkata: "Sepatutnya saya masih lagi senator, tapi kerana saya diprovokasi saya pun buka mulut tentang penganjuran perhimpunan jalanan itu."

Sementara itu, Senator Datuk Ng Fook Heng dalam ucapannya memohon maaf kepada Tunku Abdul Aziz kerana menimbulkan provokasi sehingga bekas naib presiden Transparency International itu menyatakan pendirian tegas menentang perhimpunan yang disokong pembangkang, akhir bulan lepas.

"Tunku, saya memohon maaf kerana meletakkan anda dalam satu keadaan yang sukar," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata Tunku Abdul Aziz adalah contoh pemimpin berwibawa.

"Inilah contoh seorang yang berpegang kepada prinsip, benar tetap benar, salah tetap salah demi bangsa, negara dan generasi akan datang," katanya.

Abu Zahar berkata pelantikan senator harus dibuat daripada kalangan mereka yang berwibawa, berilmu dan berkebolehan dalam memperkasakan Dewan Negara.

Selain Tunku Abdul Aziz dan Fook Heng, turut diraikan pada majlis itu ialah Ketua Wanita Umno Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Senator Ahmad Husin, Senator Zainun A.Bakar, Senator Datuk Zaitun Mat, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff dan Senator Mumtaz Md Nawi.

Bagaimanapun, Shahrizat yang tamat tempoh sebagai anggota Dewan Negara pada 8 April lepas, tidak hadir. - BERNAMA

Artikel Lain