suria

Bicara Kes Saman Zainul Rijal Terhadap Peguam Anwar Bermula 7 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis, menetapkan tiga hari bermula 7 Ogos depan untuk perbicaraan kes saman RM10 juta yang difailkan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar terhadap peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman berhubung kenyataannya di dalam portal Malaysiakini dan Harakahdaily.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar selepas bertemu peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Kamar Ainiah.

Azhar Arman ketika ditemui pemberita berkata mahkamah telah menetapkan 7, 8, dan 9 Ogos untuk perbicaraan kes dan pengurusan kes itu ditetapkan pada 11 Jun ini bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen yang akan diguna pakai semasa perbicaraan.

Pada 15 Februari lepas, Zainul Rijal memfailkan saman fitnah terhadap Kamar Ainiah dan menamakan peguam itu sebagai defendan pertama dan firma guamannya, Tetuan Kamar Ainiah, Razif & Zashidi sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zainul Rijal mendakwa Kamar Ainiah, peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes qazaf di Mahkamah Tinggi Syariah, telah membuat kenyataan fitnah ketika ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Ogos tahun lepas untuk memburukkan imejnya sebagai peguam dan ahli perniagaan.

Antara yang dituntutnya ialah satu perintah supaya penyiaran kata-kata fitnah itu dihentikan serta-merta dan penerbitan permohonan maaf dalam portal Malaysiakini dan Harakahdaily secara berterusan selama seminggu.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. - BERNAMA

Artikel Lain