suria

Bicara Kes Saman Musa Hassan Terhadap Anwar Bermula 16 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan tiga hari mulai 16 Oktober ini untuk perbicaraan penuh kes saman bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung insiden 'mata lebam' pada 1998.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam K.K Lim yang mewakili Musa dan Bani Prakash mewakili Anwar.

Bani memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 24 Mei ini untuk pengurusan kes bagi membolehkan pihak plaintif (Musa) memfailkan isu-isu yang akan dibicarakan pada perbicaraan itu.

Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 1 Julai 2008 dengan dakwaan Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan dan menyembunyi beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, pada 1998.

Berikutan itu, Musa menfailkan saman terhadap Anwar pada 21 Julai 2008 atas alasan dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti profesionalnya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan itu.

Musa berkata beliau juga tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.

Menurutnya, Anwar berniat jahat apabila membuat laporan polis terhadapnya dan Abdul Gani, dan ketua pembangkang itu berbuat demikian kerana sedang menghadapi pertuduhan baharu liwat.

Musa menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Amaun yang dituntut tidak dinyatakan secara spesifik dalam pernyataan tuntutan itu.

Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang Anwar daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.

Anwar, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 24 Oktober 2008, berkata laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan dan justifikasi. - BERNAMA

Artikel Lain