suria

Wanita Didakwa Tipu Ahli Perniagaan RM1.2 Juta

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat pembekal alat tulis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk membabitkan transaksi kemasukan wang berjumlah RM1.2 juta ke akaun peribadinya, dua tahun lepas.

Norhuda Mahat, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikatnya, Adda Prima Technologies Sdn Bhd, di Lot 03-03C, Tingkat 3, Kompleks PKNS Shah Alam di sini sekitar April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan Norhuda diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Norhuda menipu Datuk M.Azmi Md.Amin, 51, untuk melabur dalam syarikatnya yang menjanjikan pulangan 15 peratus daripada pelaburan usaha sama syarikat, sedangkan dia tahu Adda Prima Technologies Sdn Bhd bukanlah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pelaburan (Forex).

Perbuatan tertuduh itu mendorong M.Azmi memindahkan wang ke akaun peribadi Norhuda melalui tiga transaksi kemasukan wang, iaitu RM500,000 pada 12 Nov 2010, RM300,000 pada 24 Mac 2011 dan RM400,000 pada 30 Mac 2011.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abdul Rahman manakala Norhuda diwakili peguam Amer Asree Meor Nordin. - BERNAMA

Artikel Lain