suria

Tiga Lelaki Larikan Barang Kemas, Wang Tunai & Telefon Mudah Alih Dari Rumah Petani

BESUT: Tiga lelaki dipercayai warga Indonesia melarikan tiga utas rantai leher, satu gelang tangan, sebentuk cincin dan sepasang subang serta wang tunai berjumlah RM500 dan empat unit telefon mudah alih dari rumah seorang petani di sini awal pagi Rabu.

Shafie Mohamad, 46, dan isterinya Hasniah Mat Hassan, 39, sedang tidur bersama anak berusia empat tahun terkejut apabila dibangunkan pada kira-kira jam 1.30 pagi oleh tiga lelaki di rumah mereka di Kampung Bukit Tanah, Tembila dekat sini sebelum disamun.

Ketiga-tiga suspek itu memasuki rumah tersebut melalui tingkap dapursambil memakai penutup muka.

Shafie yang ditemui pemberita pada Rabu berkata beliau dan isterinya terjaga apabila penjenayah yang masuk ke bilik tidurnya memasang lampu sambil menghunuskan parang panjang di lehernya.

Katanya, suspek mengugut supaya kami tidak berbuat bising dan terus mengikat tangan beliau dan isterinya sebelum menggeledah rumah mereka.

"Sebaik sahaja kami diikat mereka telah mengambil tiga utas rantai leher, satu gelang tangan, sebentuk cincin dan sepasang subang serta wang tunai berjumlah RM500 dan empat unit telefon mudah alih,"katanya.

Shafie berkata, selepas berada kira-kira 30 minit dalam rumahnya ketiga-tiga suspek melarikan diri melalui pintu dapur.

Katanya, isterinya berjaya membuka ikatannya sebelum meminta bantuan jiran untuk membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata, gerakan memburu suspek sedang dijalankan. - BERNAMA

Artikel Lain