suria

PM Dijangka Hadiri Perhimpunan Hari Pekerja 2012, Sabtu Ini

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri perhimpunan Hari Pekerja 2012 yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Serdang, Sabtu ini.

Selain menyampaikan amanat kepada lebih 8,000 warga pekerja daripada 200 jabatan dan agensi kerajaan dan swasta, Najib turut akan menyampaikan sembilan anugerah utama meliputi Pekerja Cemerlang, Majikan Prihatin, Majikan Berdaya Saing, Kesatuan Sekerja Contoh dan Ladang Bahagia dalam kedua-dua sektor.

"Perhimpunan ini diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan pekerja dalam pembangunan negara serta mengeratkan semangat kerjasama dan permuafakatan antara tiga pihak utama iaitu kerajaan, majikan dan pekerja dalam usaha pembangunan negara," menurut satu kenyataan Kementerian Sumber Manusia, Rabu.

Menurut kenyataan itu, tema 'Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi' dipilih bagi mengiktiraf sumbangan warga pekerja yang penuh komited dan dedikasi dalam menghasilkan produktiviti berprestasi tinggi dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Beberapa aktiviti sampingan turut diadakan antaranya karnival pekerjaan dimana 50 syarikat swasta akan menawarkan 3,000 jawatan kosong dan 50 pusat latihan bertauliah menawarkan latihan kemahiran bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Selain itu, Program Azam Kerja yang tersenarai dalam e-kasih, pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah turut diadakan. - BERNAMA

Artikel Lain