suria

Pemilik Anjing Serang Warga Emas Boleh Dikenakan Tindakan - MPSJ

KUALA LUMPUR: Pemilik anjing jantan jenis Pitbull yang menyerang seorang warga emas sehingga maut di Subang Jaya pada Selasa boleh dikenakan tindakan walaupun anjing itu mempunyai lesen.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Azfarizal Abdul Rashid berkata pemilik anjing perlu bertanggungjawab terhadap syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPSJ dalam Undang-Undang Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPSJ 2012.

"Antaranya, pemilik tidak boleh membiarkan anjing dilepaskan dan harus diikat dan dikawal oleh pemilik semasa di luar permis," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata sekiranya didapati cuai, pemilik boleh dikenakan kompaun RM1,000 manakala anjing itu boleh dirampas.

Azfarizal berkata anjing itu kini diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Selangor untuk siasatan lanjut.

Pada Selasa, seorang warga emas, Yip Sun Wah, 74, yang sedang berjoging mati selepas diserang seekor anjing jantan jenis Pitbull peliharaan jirannya di Jalan 19/5E, SS19 Subang Jaya. - BERNAMA

Artikel Lain