suria

Lelaki Dalam Perjalanan Ke Tempat Kerja Maut Dirempuh Kereta

SEREMBAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di persimpangan Taman Ampangan-Taman Pancor Jaya, di sini Rabu.

Zulkifli Alias, 61, mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk bedah siasat.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian langgar lari pada pukul 6 pagi itu, Zulkifli dikatakan dilanggar dari arah tepi oleh sebuah kereta Proton Persona yang dipercayai dipandu lelaki rakyat asing berusia dalam lingkungan 20-an.

"Mangsa tercampak ke bahu jalan dan kereta terbabit terbabas lalu melanggar lampu jalan. Pemandu kereta itu meninggalkan kenderaan dan melarikan diri," katanya.

Isteri mangsa, Samsiah Ahmad yang ditemui di tempat kejadian berkata ketika kejadian suaminya dalam perjalanan menuju ke Stesen Keretapi Seremban untuk menaiki komuter untuk ke tempat kerja di Petaling Jaya.

"Suami saya keluar seawal 5.45 pagi dan sering melalui jalan itu untuk ke Stesen Keretapi Seremban kerana dia bekerja di Petaling Jaya dan berulang alik setiap hari menggunakan komuter," katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan ASP Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain