suria

Kerajaan Selangor Akur Titah Sultan Agar Isu Air Tidak Dipolitikkan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya isu air tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri menghormati titah baginda dan akan menjadikan pandangan baginda sebagai panduan bagi meningkatkan keberkesanan urus tadbir negeri.

Sehubungan itu beliau berharap isu penstrukturan semula industri air di negeri itu dapat diselesaikan seperti yang diperuntukkan oleh Akta Industri Pembekalan Air 2006 yang membolehkan kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Negeri di sini Rabu. Abdul Khalid berharap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menggunakan kuasa sebagai menteri di bawah akta itu untuk memastikan syarikat konsesi memberi persetujuan kepada rancangan penstrukturan industri air yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah menawarkan penyelesaian menerusi timbang tara antarabangsa untuk memberikan keadilan kepada semua pihak dan sepatutnya syarikat konsesi tidak mempunyai masalah untuk menerima tawaran itu yang beliau anggap amat munasabah. - BERNAMA

Artikel Lain