suria

Kerajaan Negeri Cadang Dr Ariffin & Syed Shahir Sebagai Anggota Dewan Negara

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari mencadangkan pensyarah Universiti Pertahanan Malaysia Dr Ariffin S.M Omar dan Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan & Sekutu Syed Shahir Syed Mohamud, sebagai anggota Dewan Negara.

Dr Ariffin, 63, dan Syed Shahir, 60, dipilih selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng membentangkan usul melantik dua anggota Dewan Negara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggantikan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff yang tamat perkhidmatan pada 30 Mei ini.

Lim berkata Dr Ariffin adalah ahli dalam Sejarah Melayu dan telah menghasilkan beberapa buah buku ilmiah serta pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Lim berkata Syed Shahir pula dicalonkan ekoran pengalamannya dalam aktiviti dan gerakan kesatuan pekerja di Malaysia sejak 38 tahun.

"Selain itu kewibawaannya yang pernah mewakili negara dalam pelbagai forum, persidangan dan seminar di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain