suria

Kerajaan Galak Tadbir Urus Yang Baik, Akauntabiliti & Telus - Ambrin

PUTRAJAYA: Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bagi menggalakkan tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Beliau memberi contoh pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) terhadap rasuah sebagai satu elemen penting dalam keseluruhan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mana beberapa inisiatif teras diambil dalam bidang-bidang pengawalseliaan dan penguatkuasaan dan rasuah besar.

"Jadi, kita lihat sekarang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis diperkukuhkan, kecekapan badan kehakiman melupuskan kes-kes rasuah, menguatkuasa hukuman yang lebih keras dan sebagainya, katanya dalam ucaptama pada siri wacana Perdana ke-14 bertajuk " Meningkatkan Akauntabiliti dan Integriti Dalam Sektor Awam-Cukupkan Apa Yang Kita Lakukan?" di sini, Rabu.

Beliau juga menjelaskan beberapa langkah yang telahpun diambil bagi mengurangkan salah urus pemerolehan, seperti pergantungan lebih besar dalam tender terbuka yang bertentangan dengan cara rundingan terus sebagai satu usaha bagi mengurangkan ketirisan dalam dana yang diperuntukkan bagi pembangunan dan pentadbiran awam negara serta untuk memastikan keadilan dalam pemberian kontrak.

Satu lagi contoh ialah pendedahan butiran semua perolehan kerajaan dan projek penswastaan seperti maklumat mengenai vendor, harga dan hak milik projek yang merupakan langkah-langkah ketelusan yang penting di bawah GTP, katanya.

Beliau berkata peranan surat sokongan yang sebelum ini menimbulkan beberapa kontroversi, kini telahpun ditakrifkan dengan jelas melalui arahan Perdana Menteri bagi kementerian dan agensi supaya tidak mengeluarkan suat-surat sokongan terutama bagi rundingan terus.

Sementara itu, Ambrin juga mengulas mengenai prestasi keuntungan syarikat-syarikat milik kerajaan yang mana beliau berpendapat bahawa sumbangan mereka pada umumnnya agak suram walaupun ada antaranya telah lama beroperasi.

"Selain itu, terdapat banyak ruang untuk diperbaiki dalam tadbir urus korporat dan kawalan dalaman. Audit dalaman atau jawatankuasa audit sebahagian besarnya tidak ada, hampir kesemua tidak menyedari mengenai garis panduan Perbendaharaan mengenai bagaimana syarikat-syarikat ini perlu diurus, yang dikeluarkan sejak 1993.

"Oleh itu, adalah tidak mengejutkan untuk mendapati bahawa mereka tidak begitu baik dalam soal akauntabiliti dan integriti. Saya berpendapat adalah baik bagi sesetengah mereka untuk mengadakan semakan semula secara bebas bagi menjustifikasikan kewujudan mereka secara berterusan," katanya.

Sementara itu, Ambrin berkata Jabatan Audit Negara yakin bahawa polis dan SPRM akan menyiasat kes-kes yang disyaki rasuah dan penipuan jika laporan dibuat.

"Tapi, kita juga ingin tahu sama ada ketua jabatan atau agensi akan mengambil tindakan disiplin sewajarnya terhadap pegawai mereka yang mana kecuaian itu menyebabkan kerugian kepada kerajaan atau atas kegagalan projek itu," katanya.

Beliau berkata pada masa-masa lepas, beliau mendapati ketua-ketua jabatan ini sama ada enggan untuk menghukum kakitangan mereka atas rasa simpati atau semata-mata untuk melindungi imej jabatan atau agensi mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ambrin berkata tindakan segera harus dikenakan terhadap pekerja yang melakukan kesalahan di bawah peraturan disiplin yang ditetapkan dalam perkhidmatan awam.

"Maknanya kita tidak perlu undang-undang baru kerana undang-undang itu sudah ada. Jadi soal siapa nak ambil tindakan, ia perlulah diambil oleh ketua-ketua jabatan dan agensi.

"Ini kerana arahan dikeluarkan oleh kerajaan supaya memandang berat teguran audit dan mengambil tindakan-tindakan pembetulan yang segera supaya perkara ini tak berulang lagi pada masa hadapan," kata beliau.

Pada peringkat persekutuan, Jabatan Audit Negara merupakan auditor dalaman bagi 25 kementerian, 120 badan-badan berkanun dan juga 110 jabatan dan agensi dengan kira-kira 2,000 kakitangan audit dan sokongan di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain