suria

Imigresen Kelantan Tahan 19 GRO Rakyat Thailand

KOTA BAHARU: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan menahan 19 wanita Thailand dalam serbuan ke atas sebuah kedai makan yang dijadikan pusat karaoke di Gua Musang, Selasa.

Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Abdul Basek Abu Bakar berkata serbuan dibuat kira-kira pukul 11.30 malam ketika kira-kira 70 orang berada di dalam pusat itu, sebahagian besar adalah penduduk tempatan, sedang menikmati hiburan dan minuman keras.

"Hasil pemeriksaan itu, kami mendapati 19 orang adalah wanita Thailand yang dijadikan pelayan, melayan tetamu yang hadir di situ," katanya kepada pemberita Rabu.

Menurut Abdul Basek sebelum itu pihaknya menerima maklumat orang ramai berhubung kegiatan sebuah restoran yang menggunakan wanita rakyat asing sebagai pelayan di pusat karaoke itu.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua wanita warganegara Thailand berusia antara 18 dan 44 tahun mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mereka ditahan kerana disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral.

"Kami bawa mereka ke Pejabat Penguatkuasa di sini untuk siasatan lanjut dan ditahan sementara di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah sebelum tindakan susulan dibuat termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal," katanya.

Beliau juga berkata sepanjang operasi yang dijalankan sebelum ini bermula 11 April hingga 6 Mei lepas seramai 1,101 rakyat asing diperiksa di Kelantan dan daripada jumlagh itu, seramai 144 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.

"Sebahagiannya telah selesai siasatan dan dikenakan tindakan manakala sebahagian lagi masih dalam perbicaraaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain