suria

Hukuman Penjara 30 Tahun Lelaki Tanam Ganja Kekal

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki kerana kesalahan menanam ganja, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Amri Maskor, 30, terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang pada 4 Ogos tahun lepas selepas dia mengaku bersalah.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Sofian berkata tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah minimum dan menasihati Mohd Amri agar memulakan hidup baru selepas selesai menjalani hukuman.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 6B(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali.

Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani hadir bagi pihak pendakwaan.

Mahkamah Sesyen Klang turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan 10 sebatan terhadap Mohd Amri bagi pertuduhan kedua iaitu mempunyai kawalan ke atas satu bekas plastik berisi daun kering ganja seberat 187.7 gram.

Dia juga dihukum penjara tiga tahun oleh mahkamah sama selepas mengaku mempunyai kawalan ke atas satu bungkusan akhbar berisi biji tumbuhan ganja seberat 10.53 gram.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan di sebuah rumah di Kampung Baru Haji Razali, Batu 9 1/2 Tanjong Karang dekat sini, kira-kira 3.30 pagi pada 14 Mei 2010.

Bagaimanapun, Mohd Amri diperintahkan menjalani ketiga-tiga hukuman secara serentak mulai tarikh dia ditangkap. - BERNAMA

Artikel Lain