suria

Hasan Ali Saman Khalid, Mahfuz

KUALA LUMPUR: Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Hasan pada sidang media di kediamannya di sini pada Selasa berkata, saman terhadap Khalid difailkan pada 12 April lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Manakala saman terhadap Mahfuz menurut beliau masih belum dapat diserahkan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Notis saman telah diserahkan kepada Khalid dan pengurusan kes tersebut dijalankan pada 30 April lalu.

Dalam saman tersebut, Hasan yang diwakili peguam Tetuan Kamarul Hisham & Hasnal Rezua menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk serta satu perintah injunksi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah terhadap plaintif yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Menurut Hasan, saman ke atas Khalid difailkan ekoran tindakan Ahli Parlimen Shah Alam itu yang mengeluarkan kenyataan bahawa dana program jelajah termasuk pelancaran Jalur Tiga (Jati) dibiayai oleh syarikat-syarikat tertentu.

Sementara itu, katanya, saman terhadap Mahfuz pula adalah berhubung dakwaan Jati dibiayai melalui kontrak latihan jangka panjang oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM30 juta.

"Saya telah nyatakan berulang kali bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua ahli parlimen tersebut adalah berniat jahat dan tidak berasas," katanya.

Jelas Hasan, tuduhan tersebut turut ditimbulkan sebagai sesuatu yang dirancang bagi memburukkan nama baik beliau dan Jati selain merosakkan karier politiknya.

"Saya membuat keputusan untuk membawa kes ini ke mahkamah bertujuan untuk membersihkan nama baik saya dan Jati.

"Saya juga berhasrat menjadikan kes ini sebagai satu pengajaran kepada kedua-dua pemimpin politik tersebut yang sering mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa," katanya.

Artikel Lain