suria

Durian Runtuh Adalah Balasan Kecemerlangan Felda

KUALA LUMPUR: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menyifatkan pemberian 'durian runtuh' kepada warga Felda seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan balasan terhadap kecemerlangan Felda selama 56 tahun.

Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail berkata peneroka, penerokawati, generasi baru serta kakitangan Felda telah diiktiraf kerajaan sebagai pemangkin kecemerlangan Felda.

"Bukan mudah bagi kita untuk membina sesebuah tamadun seperti Felda yang berjumlah lebih dua juta orang. Segala perit payah telah dilalui tanpa rasa jemu.

"Wajarlah mereka ini dibalas dengan pemberian perkongsian kekayaan apatah lagi penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) nanti bakal melakar sejarah ketamadunan Felda yang lebih gemilang," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Dalam pengumuman Najib di hadapan 50,000 warga peneroka Felda di Jerantut, sejumlah RM1.689 bilion akan diagih kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Najib berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Rozali dalam kenyataan itu berkata GWGF mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri kerana menunaikan janji memberi durian runtuh kepada warga Felda.

"Dengan perbelanjaan sebanyak RM1.689 bilion sebagai hadiah kepada warga Felda maka tohmahan sesetengah pihak yang mengatakan Felda bankrap lenyap sama sekali," katanya.

Rozali menyeru warga Felda yang mendapat durian runtuh itu agar sentiasa beringat dan berjimat serta menggunakannya secara berhemah.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya di sini, berkata pemberian durian runtuh itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional tidak pernah mungkir janji kepada rakyat di samping sentiasa menjaga kebajikan mereka sepanjang masa.

"Ia tidak boleh dianggap sebagai gula-gula kepada rakyat menjelang pilihan raya sebaliknya merupakan sumbangan Felda kepada peneroka hasil keuntungan perniagaan yang diperoleh melalui produk dikeluarkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain