suria

Dewan Negara Lulus Lima Rang Undang-Undang Berkaitan Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR: Dewan Negara pada Rabu meluluskan lima rang undang-undang yang berkait rapat dengan hal-hal berkaitan keselamatan negara.

Rang undang-undang yang diluluskan itu termasuk yang mencetuskan perdebatan hebat iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Rang undang-undang yang dibahagikan kepada lapan bahagian itu dibentang ekoran pemansuhan ISA 1960 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September tahun lepas.

Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong itu, antara lain, bertujuan menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam daripada ancaman keganasan, sabotaj serta pengintipan.

Empat lagi rang undang-undang yang diluluskan tanpa pindaan ialah Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012; Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2012; dan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan)(No.2) 2012.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Laut Wilayah 2012.

Terdahulu, Liew ketika menggulung perbahasan berkata kerisauan yang dilontarkan Senator Mumtaz Md Nawi bahawa akan wujud lompong luas di bawah Kanun Keseksaan ekoran ketiadaan ISA, sebenarnya tidak berasas.

Beliau berkata kerajaan sedar pemansuhan ISA turut menggugurkan segala peruntukan kesalahan dan pencegahan yang terkandung dalam akta itu, tetapi Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 juga mengadakan peruntukan bagi langkah khas yang diperlukan untuk menangani kesalahan keselamatan secara efektif.

"Dengan menyedari hakikat bahawa keselamatan negara dan ketenteraman awam mesti sentiasa dipelihara dan dilindungi, dan bahawa secara amnya negara dan dunia kini semakin terdedah kepada ancaman pengganas, aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen, sabotaj dan pengintipan, maka adalah perlu untuk kerajaan menggubal undang-undang yang dapat menangani ancaman-ancaman sedemikian dan melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam," katanya.

Liew turut menjelaskan sepanjang tempoh 52 penguatkuasaan ISA iaitu dari 1960 sehingga April lalu, seramai 10,888 orang telah ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA manakala 4,461 orang dikenakan Perintah Tahanan mengikut Seksyen 8(1) akta sama.

Katanya, sehingga kini terdapat 45 orang masih ditahan di bawah ISA dan 30 daripadanya atas kesalahan penyeludupan migran, militan (14) dan seorang bagi pemalsuan dokumen. - BERNAMA

Artikel Lain