suria

DAP Selangor Nafi Dakwaan Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Dibuat Sambil Lewa

SHAH ALAM: DAP Selangor pada Rabu menafikan dakwaan bahawa pelantikan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dibuat secara sambil lewa tanpa melihat kepada kelayakan akademik mereka terlebih dahulu.

Pengerusinya, Teresa Kok berkata Jawatankuasa DAP Selangor telah mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan yang serius sebelum melantik mana-mana ahli parti itu sebagai ahli majlis di Selangor.

"Semua ahli majlis DAP di MBPJ terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang profesional dan mereka sangat dedikasi serta efektif dalam melaksanakan tugas sebagai ahli majlis.

"Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat dalam laporan berita tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Teresa berkata demikian sebagai mengulas laporan The Star pada Rabu yang memetik Adun Damansara Utama, Dr Cheah Wing Yin yang didakwa menulis surat kepada pemimpin partinya bagi menyatakan pandangan bahawa selama empat tahun Pakatan Rakyat di Selangor ia dilihat sebagai satu kepimpinan yang silap.

Cheah dipetik sebagai berkata, ahli majlis tempatan yang dilantik juga tidak boleh mengangkat sumpah jawatan kerana gagal membaca atau bercakap menggunakan bahasa Malaysia.

Malah beliau mendakwa ada yang memboikot mesyuarat ahli majlis kerajaan tempatan.

Bukan itu sahaja, Cheah dilaporkan berkata terdapat graduan yang berusia 23 tahun dilantik sebagai ahli majlis kerajaan tempatan.

Semua perkara itu, ditulis dalam surat setebal 12 muka surat yang dihantat kepada Penasihat DAP, Dr Chen Man Hin, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Teresa yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata DAP Selangor akan menemui Dr Cheah dalam tempoh terdekat bagi membincangkan kesahihan surat dalam isu tersebut.

"DAP Selangor akan menemui Dr Cheah dalam tempoh terdekat. Buat masa ini kita sangat yakin.

"Sebagai Pengerusi DAP Selangor saya menyatakan sokongan kepada semua Ahli Majlis MBPJ dan kami berpegang teguh kepada keputusan serta pelantikan yang dibuat bagi memastikan penduduk Petaling Jaya mendapat ahli majlis yang dapat berkhidmat dan membela nasib rakyat," katanya.

Artikel Lain