suria

Polis Tahan 7 Wanita Vietnam Terlibat Aktiviti Pelacuran

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh wanita warga Vietnam dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran dalam satu operasi di Taman Perusahaan Kepong, dekat sini Isnin malam.

Operasi pukul 12 tengah malam itu membabitkan dua premis hiburan tidak berlesen serta sebuah kafe siber yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen.

Ketua Unit Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat Bukit Aman ASP Shahrul Nizam Jaafar berkata semua wanita yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di luar premis hiburan bagi mengelak dikesan polis.

"Mereka menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dari harga RM180 dan akan mengajak pelanggan ke hotel berdekatan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Kesemua mereka juga didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Dalam serbuan di kafe siber itu pula, polis merampas 27 komputer dipercayai dijadikan mesin judi berinternet dan menahan penjaga premis warga tempatan berusia 21 tahun.

"Kesemua mereka kita tahan di Balai Polis Kepong untuk siasatan lanjut," katanya. Operasi selama dua jam yang berakhir pada pukul 2 pagi itu disertai lima pegawai dan tujuh anggota dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. BERNAMA

Artikel Lain