suria

PKR Tuntut Tribunal Ditubuh Pecat Pengerusi, Timbalan SPR

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut supaya sebuah tribunal ditubuhkan bagi memecat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, tindakan menubuhkan tribunal adalah langkah permulaan yang sesuai dengan Perlembagaan setelah kedua-dua mereka tidak menyatakan pernah membatalkan keanggotaan dalam Umno.

"Keanggotaan kedua-dua pegawai tertinggi SPR ini dalam sebuah parti politik secara jelas melanggar Perkara 114, Fasal 2 dan Fasal 4A.

"Apatah lagi apabila kedua-dua mereka mengaku menjadi ahli (Umno) atau tidak menafikan mereka pernah menjadi ahli," katanya dalam satu sidang media di pejabat PKR, dekat sini, Selasa.

Rafizi berkata, sebuah tribunal perlu ditubuhkan bagi membicarakan kecuaian dan perlanggaran peruntukan Perlembagaan seperti yang didakwa terhadap kedua-dua pemimpin suruhanjaya ini.

"Seterusnya tindakan memecat akan diambil terhadap kedua-duanya jika didapati bersalah," jelasnya.

Menurut Rafizi, pelantikan dan keanggotaan SPR mengikut Peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah jelas termaktub dalam Perkara 114.

Katanya, mengikut Perlembagaan, dalam masa tiga bulan dilantik ke jawatan Pengerusi atau Timbalan Pengerusi SPR, mereka perlu menarik diri dari semua badan yang termaktub di bawah Fasal 4A dengan membatalkan keahlian.

"Sebagai pegawai tertinggi SPR, kecuaian mereka tidak menyemak dan membatalkan keahlian parti politik adalah satu kesalahan besar yang melanggar peruntukan Perlembagaan," katanya.

Tambahnya, Perlembagaan juga memperuntukkan hilang kelayakan itu tidak terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan kerja-kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan berfaedah kepada masyarakat tanpa menerima saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

"Dari segi undang-undang jelas sekali parti politik tidak termasuk dalam kebajikan," katanya.

Bagi menggesa penubuhan tribunal, PKR akan menulis surat secara rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan diserahkan pada Khamis ini.

"Kebebasan pilihan raya umum akan datang bergantung kepada kredibiliti SPR, maka tidak wajar melengah-lengahkan penubuhan tribunal ini," katanya.

Mengulas laporan akhbar berkenaan individu lain yang berkongsi nama yang sama dengan Timbalan Pengerusi SPR yang sebelum ini pernah menjadi ahli Umno bahagian Kubang Bunggor, Pasir Mas, Rafizi berkata laporan tersebut merupakan dua keadaan berbeza.

"Ini soal Perlembagaan yang cukup jelas. Sebelum laporan itu disiarkan, Datuk Wan Ahmad sudah mengaku secara terbuka beliau pernah jadi ahli Umno dan tidak membatalkan keanggotaan," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mendakwa Abdul Aziz merupakan ahli Umno cawangan Sri Ampang Baru dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya bagi Parlimen Ampang, Selangor, manakala Wan Ahmad merupakan ahli Umno bahagian Kubang Bunggor di Pasir Mas, Kelantan dengan nombor keahlian 2374564.

Saifuddin menggesa Abdul Aziz dan Wan Ahmad supaya meletak jawatan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan SPR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) akan datang.

Artikel Lain