suria

Pencuci Kereta Dipenjara Tiga Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang pencuci kereta dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tuduhan mendatangkan cedera semasa melakukan rompakan ke atas seorang pelayan restoran, empat tahun lepas.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Samy Nathan selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada Selasa.

Azwarnida turut memerintahkan Samy Nathan, 30, menjalani hukuman penjara bemula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Mei tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera semasa melakukan rompakan ke atas C. S Puvanes Waran, 25, di tempat letak motosikal di kawasan Flat Sri Selangor, Jalan San Peng, Dang Wangi dekat sini pada pukul 6.30 pagi, 28 Dis 2008.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu Samy Nathan yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah agar hukuman ke atasnya diringankan dan mengaku sudah insaf dengan kesilapan yang dilakukannya selama menjalani kehidupan di penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din. BERNAMA

Artikel Lain