suria

Semburan Gas Pemedih Mata Selamat, Diluluskan PBB - Polis

PETALING JAYA: Polis tetap mempertahankan penggunaan gas pemedih mata pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu dengan menyifatkan ia tidak memudaratkan kesihatan manusia.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Persenjataan), ACP Syed Mustafa Raja Syed Nordin dalam klip video selama lima minit yang disiarkan dalam laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, alat yang digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan itu adalah selamat dan mematuhi piawaian antarabangsa.

Dalam video tersebut, Syed Mustafa menunjukkan empat jenis alat yang digunakan ketika perhimpunan iaitu bom gas pemedih mata, kanister gas pemedih mata dan semburan lada.

"Kesemuanya diimport dari Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Switzerland serta mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Alat ini mengandungi 'gas CS' yang diluluskan oleh PBB sebagai ejen kawalan rusuhan. Kebanyakan negara mengesahkan penggunaan gas ini tidak membawa maut," katanya.

Menurut beliau, negara seperti AS, United Kingdom, Switzerland dan Jerman menggunakan alatan sama ketika perhimpunan dan tunjuk perasaan.

Katanya, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sering kali terdedah kepada gas CS ketika latihan dan sehingga kini, tiada mana-mana anggotanya cedera.

"Gas CS juga tidak dilarang di bawah Konvensyen Senjata Kimia 1993. Malaysia adalah sebuah negara yang mengesahkan konvensyen ini," kata Syed Mustafa.

Syed Mustafa turut menyangkal dakwaan bahawa gas CS tersebut adalah sama seperti yang digunakan oleh Israel.

PDRM turut memuat turun video lain yang memaparkan temu bual bersama pembekal gas CS dan cecair CS yang memberi jaminan bahawa kesan penggunaan alat tersebut hanya bersifat sementara.

Artikel Lain