suria

Pemberian Diskaun Beli Barangan Kepada Pelajar

SINTOK: Sebanyak 17 syarikat mengesahkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memberi diskaun kepada pelajar yang menggunakan kad diskaun semasa membuat pembelian.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sedang membuat rundingan terakhir dengan syarikat berkenaan sebelum melancarkan kad diskaun tersebut bulan depan.

"Antara syarikat yang terlibat ialah cermin mata, kedai buku, alat tulis, makanan segera, pusat kecantikan dan klinik. Kita juga menjangkakan semasa pelancaran nanti, kita dapat menarik lebih 20 syarikat kerana kita juga sedang membuat perbincangan dengan syarikat pengangkutan seperti Maswing (untuk pelajar di Sabah dan Sarawak) dan juga syarikat minyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Universiti Utara Malaysia (UUM) 2012, Gerakan Pengguna Siswa peringkat negeri Kedah dan Menu Rakyat 1Malaysia di UUM di sini, Isnin.

Katanya kadar diskaun yang akan diberikan adalah antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada persetujuan syarikat tersebut.

"Pada fasa pertama, kita akan berikan kepada pelajar tahun akhir kerana mereka akan menamatkan pengajian tidak lama lagi dan fasa-fasa berikut baru kita beri kepada pelajar tahun dua dan tahun satu," katanya.

Ismail Sabri berkata kad itu akan diberikan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej komuniti dan institut pendidikan guru.

"Sekarang ini kita mempunyai 1.4 juta pelajar di seluruh negara dan kita akan berikan kad diskaun tersebut secra berperingkat. Untuk permulaan kita akan utamakan kepada semua mahasiswa kecuali pelajar pascasiswazah," katanya.

Beliau berkata pemberian kad itu mungkin diperluas kepada semua pelajar termasuk pascasiswazah kecuali pelajar antarabangsa pada masa akan datang.

Beliau turut menyarankan kepada pelajar yang akan menerima kad tersebut supaya membuka akaun simpanan di Bank Rakyat kerana kad itu juga boleh dijadikan kad debit semasa membeli barang di kedai-kedai terpilih.

"Kita bersama-sama dengan Bank Rakyat mengeluarkan kad tersebut dan diberikan secara percuma kepada pelajar. Kita anggap ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat dan juga CSR daripada syarkat-syarikat yang memberi diskaun terhadap produk mereka," katanya.

Katanya pemberian kad diskaun pelajar jelas menunjukkan pihak kerajaan prihatin kepada golongan pelajar dan sentiasa memikirkan bagaimana cara hendak membantu pelajar kerana pelajar tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada ibu bapa dan juga pinjaman pelajaran.

"Ini juga merupakan satu inisiatif yang kita kira tidak memerlukan belanja yang besar kerana kerjasama yang diberikan antara pihak kerajaan dan swasta yang jika kerjasama diteruskan lagi, maka lebih banyak yang boleh kita lakukan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain