suria

Isu Daftar Pemilih: PAS Terus Tuntut Penjelasan JPN, SPR

KUALA LUMPUR: PAS terus menuntut penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung daftar pemilih yang didakwa mereka masih mempunyai unsur penyelewengan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan yang dituntut termasuklah keraguan kod negara kelahiran sebahagian daftar pemilih yang didakwa tidak wujud dalam JPN dan senarai pemilih yang diletakkan dalam senarai undi awal.

"Sekarang SPR sedang pamerkan senarai daftar pemilih untuk suku pertama 2012 selama dua minggu.

"Yang menjadi persoalan apabila sehingga semalam, kita mengenal pasti sebanyak 5,422 daripada senarai pemilih yang kod kelahiran mereka tidak wujud dalam senarai JPN," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Pas, dekat sini, Isnin.

Mahfuz berkata, kod-kod kelahiran dalam kad pengenalan daftar pemilih baru seperti '66', '89', '61' bersama 24 kod lain amat diragui kewujudannya.

"Selama ini kita tahu hanya kod '71' digunakan untuk rakyat asing yang mendapat taraf warganegara atau rakyat Malaysia yang lahir di luar negara sahaja.

"PAS ragu bila JPN sendiri tak ikut kod kelahiran yang ditetapkan oleh mereka sendiri. JPN tak hanya letak kod '71', tapi kodnya sudah berbagai-bagai...kenalah jelaskan kepada umum," katanya.

Mahfuz menambah, sekiranya benar kod-kod selain daripada '71' turut digunakan, JPN harus memberikan penjelasan terperinci tentang status negara kelahiran seseorang yang telah diberi taraf kerakyatan.

Penjelasan lain yang dituntut ialah senarai pendaftar yang bukan tentera tetapi diletakkan di bawah kod lokaliti tentera.

Katanya, sehingga semalam pihaknya mengenal pasti seramai 113 pengundi yang terdiri daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang kad pengenalan mereka adalah kad pengenalan orang awam tetapi diletakkan di bawah lokaliti tentera.

"Mereka ini SPR senaraikan sebagai lokaliti tentera yang dulunya boleh mengundi melalui pos tetapi baru-baru ini ditetapkan sebagai pemilih tidak perlu hadir dan boleh mengundi awal.

"Kenapa mereka wujudkan lokaliti untuk Palapes dan sejak bila mereka yang masuk Palapes di bawah kokurikulum universiti termasuk sebagai pengundi tidak perlu hadir dan berkod lokaliti tentera," beliau meminta penjelasan.

Menurut Mahfuz, persoalan-persoalan ini berkait rapat dengan tuntutan Bersih sebelum ini yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Sebelum ini, PAS bersama Gerakan Anti Pemalsuan IC (API), menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Majlis Raja-Raja bagi memohon perkenan membentuk Suruhanjaya Diraja menyiasat dakwaan penyelewengan pemberian taraf warganegara kepada warga asing.

Artikel Lain