suria

Gaji Minimum RM800 Lebih Tinggi Daripada Gaji Penengah Sekarang

KUALA LUMPUR: Penetapan kadar gaji minimum RM800 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan adalah jauh lebih tinggi daripada gaji penengah pada masa kini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata pada masa kini, gaji penengah bagi Sabah dan Labuan adalah RM577 manakala di Sarawak RM738.

"Di Sabah umpamanya, penetapan gaji minimum RM800 adalah 39 peratus melebihi gaji penengah, ini bermakna tidak kurang 50 peratus pekerja di Sabah akan mendapat kenaikan gaji tidak kurang daripada 39 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Eksekutif Kementerian Sumber Manusia-Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) bertajuk 'Pelaksanaan Gaji Minimum Pemangkin Negara Berpendapatan Tinggi' di sini, Isnin.

Maznah berkata penetapan kadar gaji minimum bagi wilayah tersebut telah dipersetujui oleh wakil pekerja dan majikan setelah mengambil kira faktor-faktor berbeza di negeri-negeri tersebut.

Beliau berkata sekiranya gaji minimum ditetapkan pada kadar RM900, sama seperti di Semenanjung, dibimbangi majikan, khususnya majikan kecil di negeri-negeri tersebut menghadapi masalah untuk terus beroperasi atau terpaksa menutup operasi.

"Lonjakan RM900 itu satu kejutan kepada majikan dan ada implikasinya. Sekiranya ia berlaku pekerja akan kehilangan pekerjaan di mana akhirnya akan menimbulkan pelbagai masalah lain," katanya.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengkaji semula gaji minimum yang baru ditetapkan kepada sektor swasta di Sabah dan Sarawak.

Mereka mencadangkan agar kerajaan menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 kerana para pekerja di negeri-negeri tersebut berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Ketika mengumumkan kadar itu pada 30 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun berkata penetapan kadar gaji minimum yang berbeza adalah untuk permulaan sahaja dan kerajaan berharap agar ia dapat diselaraskan kepada satu kadar di seluruh negara.- BERNAMA

Artikel Lain