suria

Bunuh Juruelektrik: Lelaki Dipenjara 22 Tahun

SHAH ALAM: Seorang lelaki dipenjara 22 tahun setelah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini menyebabkan kematian seorang juruelektrik dengan menikamnya dan menekan kepala mangsa ke dalam air paya sehingga mangsa tidak bergerak, dua tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari memerintahkan S. Kumar, 33, menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 12 September 2010.

Kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham selepas Kumar gagal membayar RM500 yang dipinjam daripada isteri mangsa.

Dia bernasib baik terlepas daripada hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan bunuh selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepadanya iaitu menyebabkan kematian mangsa, M. Segar, 39.

Kumar, yang juga seorang juruelektrik, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tanah paya berhampiran Apartmen Dahlia, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dekat sini, kira-kira pukul 3.30 malam pada 3 Januari 2010. Mayat mangsa ditemui bersebelahan sebatang pokok di tempat kejadian dalam keadaan tidak berbaju serta terdapat kesan tetakan dan tikaman di badannya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengajak anak saudaranya, M. Saravanan untuk mencari mangsa yang ketika itu sedang memancing seorang diri di tempat kejadian.

Semasa mangsa sedang mengemaskan peralatannya untuk pulang ke rumah pada kira-kira 3.30 petang, tertuduh telah menyerang mangsa dengan parang dan menetaknya di bahagian muka, kepala dan badan.

Terdahulu, peguam V. Samynathan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan anak guamnya yang mempunyai empat anak yang masih bersekolah menyesal atas perbuatannya.

"Mangsa dan tiga kawannya pergi ke rumah tertuduh dan mengugut untuk mencederakan keluarga tertuduh bila tertuduh tiada di rumah. Tertuduh seterusnya mencari mangsa untuk mengugutnya yang akhirnya berakhir dengan kejadian yang meragut nyawa mangsa," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh amat kejam.

"Perbuatan tertuduh juga telah dirancang kerana dia membawa tali rafia, sarung tangan, parang dan pisau. Tiada keterangan juga menunjukkan terdapat unsur provokasi daripada mangsa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain