suria

AirAsia& MAS Bincang Cara Wujud Kerjasama Intensif

SEPANG: AirAsia dan Malaysia Airlines ketika ini sedang membincangkan cara-cara untuk mewujudkan bahagian kerjasama intensif di samping mengekalkan situasi sama menang.

Pengerusi AirAsia Datuk Aziz Bakar berkata ketika ini perbincangan sedang berjalan antara kedua-dua pihak, tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan.

"Kami masih berusaha memuktamadkan beberapa perkara dengan Malaysia Airlines mengenai keseluruhan aspek kerjasama. Tiada had masa tepat boleh dinyatakan buat masa ini.

"Kedua-dua syarikat penerbangan itu sedang mencari modul dan cadangan yang sesuai bagi kerjasama tersebut selepas perjanjian pertukaran saham dimansuhkan. "Kami mewujudkan situasi sama menang. Bagi kami di AirAsia, apa juga yang kami lakukan haruslah senario sama menang, sama ada ia pertukaran saham atau kerjasama. Jika tidak mengapa kami mahu memeterainya," katanya kepada pemberita di majlis permeterian antara AirAsia, Educational Testing Service (ETS) dan Eshia & Associates Sdn Bhd, di sini.

Ditanya sama ada AirAsia, menerusi syarikat sekutu jarak jauhnya AirAsia X, akan menyambung semula laluan-laluannya yang dihentikannya ketika ini ke Mumbai, New Delhi, Paris dan London, Aziz Bakar berkata: "Tidak. Keputusan itu kekal."

Pada 2 Mei, Khazanah, pemegang saham terbesar Malaysia Airlines, secara rasmi membatalkan perjanjian pertukaran saham itu.

Syarikat pegangan pelaburan itu memindahkan 10 peratus sahamnya atau 277,650,600 saham biasanya dalam AirAsia kembali kepada Tune Air, yang kemudiannya, memulangkan semula 20.5 peratus atau 685,142,000 saham biasa dalam Malaysia Airlines kepada Khazanah.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan rakan kongsinya, Datuk Kamarudin Meranun, meletakkan jawatan daripada Lembaga Pengarah MAS.

Wakil Khazanah, Datuk Mohamed Azman Yahya pula berundur daripada Lembaga Pengarah AirAsia.

Sementara itu, AirAsia akan menggunakan 'Test of English for International Communications' sebagai ujian kemahiran Bahasa Inggeris yang distandardkan.

Ujian itu ditawarkan menerusi Eshia & Associates, wakil negara ETS. -BERNAMA

Artikel Lain