suria

Petani Maut Dipatuk Ular

ALOR SETAR: Seorang petani berusia 63 tahun maut setelah dipatuk ular ketika sedang berehat di luar rumahnya di Kampung Goncar, Gunung Keriang dekat sini petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Saad Mansor yang dipercayai dipatuk ular berbisa di jari tangan kanan meninggal dunia di rumahnya selepas dua jam dipatuk ular yang tidak diketahui jenisnya.

Anak sulung mangsa, Shahrulniza, 35, berkata, ketika kejadian hanya adiknya, Md Shahrizal, 30, dan ibunya Che Jam Ismail, 63, berada di rumah.

Katanya, sebaik bapanya memaklumkan jari tangan kanannya dipatuk ular, adiknya segera membawanya untuk mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran rumah mereka.

"Pihak klinik mengesyorkan bapa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar namun bapa enggan pergi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, Ahad.

Katanya, bapanya kemudiannya pulang ke rumah dan meninggal dunia kira-kira 8.30 malam.

Jenazah Saad dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lengkuas, Bukit Pinang dekat sini kira-kira 11 pagi Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain