suria

MB Selangor Tetap Enggan Layan Isu Gambar Panas

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap enggan mengulas isu berhubung penyebaran gambar aksi panas yang mengaitkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali kerana menganggap itu bukan berita untuk rakyat.

Abdul Khalid berkata sebagai Menteri Besar, beliau hanya akan menjawab isu-isu yang mempunyai kaitan dan kepentingan bagi rakyat.

"Kita parti reformasi yang bergerak dengan rakyat, jadi kita mahu utarakan berita yang memberi kepentingan dan ada kaitan dengan rakyat.

"Saya merasakan isu ini bukan merupakan berita untuk rakyat dan rakyat pun tidak suka berita seperti ini," katanya.

Abdul Khalid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Shopping 'Bonus Selangorku' di pasaraya Econsave Alam Jaya, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan tindakan Azmin menyaman Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita dan gambar seorang wanita dengan seorang lelaki yang mirip rupa Azmin, dalam aksi panas.

"Saya setuju dengan tindakan yang dilakukan beliau (Azmin) dengan menyaman Utusan Malaysia dan tindakan itu telah pun dilakukan, jadi saya tak perlu kata apa-apa," kata Abdul Khalid.

Baru-baru ini media melaporkan, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin kecewa dengan Abdul Khalid yang enggan mengulas isu berkenaan.

Menurut Zuraida, ulasan ringkas dan jawapan 'no comment' Abdul Khalid boleh memberi ruang kepada masyarakat untuk membuat tafsiran negatif terutama apabila ia membabitkan dakwaan isu moral pemimpin kanan parti itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain