suria

Keputusan Dong Zong Tarik Diri Tidak Jejaskan Tugas Jawatankuasa

KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) untuk menarik diri daripada jawatankuasa khas mengatasi kekurangan guru di sekolah rendah Cina tidak akan menjejaskan tugas jawatankuasa itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu yang ditubuhkan atas arahan Kabinet akan meneruskan tugas bersama pihak berkepentingan lain kerana ia dibentuk dengan niat jujur mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya kesal bahawa mereka (Dong Zong) mengambil keputusan menarik diri. Bagaimanapun kami akan terus bermesyuarat menyelesaikan isu secara menyeluruh. Kita tidak boleh memaksa mereka untuk hadir. Namun hasrat kita jelas dan akan meneruskannya," kata beliau ketika dihubungi Bernama.

Semalam pengerusi Dong Zong, Yap Sin Tian mengumumkan bahawa pergerakan pendidikan Cina itu menarik diri daripada menyertai jawatankuasa itu sambil mendakwa tidak guna menyertai 'jawatankuasa yang merupakan bukan badan pembuat dasar' dan 'tidak berupaya menangani masalah penting' yang dihadapi sekolah Cina.

Yap juga mendakwa jawatankuasa itu hanya boleh menangani isu teknikal dan menyelesaikan masalah berdasarkan kes demi kes.

Wee bagaimanapun menerangkan bidang kerja jawatankuasa khas itu sudah diperjelaskan untuk mengendalikan masalah guru, tidak kira sama ada ianya berbentuk teknikal atau di peringkat dasar.

Beliau berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh beliau setakat ini telah menjalankan pelbagai usaha mengikut pelan lapan perkara untuk menyelesaikan isu itu termasukmenghantar guru yang tidak mahir berbahasa Mandarin mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Pelan berkenaan telah dipersetujui kabinet dan diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal April lepas, juga menetapkan guru dengan kelulusan minimum bahasa Cina peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina gred A dan B, untuk Peringkat Satu (Tahun Satu ke Tahun Tiga).

Sementara guru dengan kelayakan minimum bahasa Cina peringkat SPM pula akan mengajar di sekolah yang tidak ramai pelajar.

Muhyiddin juga mengumumkan di bawah inisiatif jangka panjang, Bahagian Latihan Perguruan dan institut latihan perguruan merangka Program Pilihan Tambahan untuk melatih guru yang tidak ada pilihan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Latihan akan dijalankan menjelang akhir tahun ini supaya proses mengajar dan pembelajaran di sekolah tidak akan tergendala semasa 105 guru siswazah dengan kelulusan bahasa Cina peringkat SPM ditugaskan ke sekolah-sekolah berkenaan.

Sementara itu, presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Pheng Yin Huah menggesa Dong Zong untuk tidak menarik diri kerana ia seperti melepaskan saluran komunikasi secara langsung melalui jawatankuasa itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Dong Zong hendaklah secepat mungkin kembali semula menyertai jawatankuasa itu kerana bukan mudah untuk mendapatkan saluran perhubungan secara terus.

"Jawatankuasa khas itu tidak boleh membuat perubahan terhadap dasar dan sistem yang ada, tetapi perakuan yang dibuatnya sampai ke peringkat pembuat dasar yang paling atas sekali, iaitu Kabinet. Oleh kerana itu kita tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menyelesaikan masalah berkenaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain