suria

Hadi Nafi Mahu Pinda Perlembagaan

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak pernah menyebut akan meminda perlembagaan berkaitan agama Islam sekiranya pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurutnya laporan beberapa akhbar tempatan baru-baru ini yang memetik beliau berkata demikian adalah tidak betul.

"Saya tak sebut (pinda Perlembagaan), Perlembagaan yang itu juga. Tak betul, tak betul," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah umum bersama bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Bukit Tok Beng, Batu Rakit, di sini semalam.

Abdul Hadi berkata maksud sebenar beliau ialah pembangkang khususnya PAS mahu memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Ini kerana, katanya, agama Islam sebagai addin sepatutnya dipraktikkan umat Islam dengan sebenar-benarnya sehingga mampu menjadi contoh yang baik kepada orang bukan Islam.

Laporan itu menyebut Abdul Hadi sebagai berkata pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia.

Abdul Hadi juga disebut berkata, Perlembagaan Persekutuan sekarang yang dirangka oleh orang bukan Islam mempunyai ideologi dan teori manusia yang tidak adil kepada umat Islam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain