suria

Dakwaan Timbalan Pengerusi SPR Ahli Umno: Pembangkang Perlu Mohon Maaf

KOTA BHARU: Pembangkang perlu memohon maaf kerana mendakwa Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa beliau adalah ahli Umno," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Beliau berkata, dakwaan pembangkang itu jelas membuktikan ia tidak berasas.

"Kebenaran akhirnya menjelaskan bahawa individu yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat sebenarnya adalah orang lain.

“Mereka perlu memohon maaf secara terbuka kerana mengelirukan rakyat,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Taman Halal Mara di Pengkalan Chepa di sini Ahad.

Mustapha mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam akhbar berbahasa Melayu yang mendakwa Wan Ahmad merupakan seorang ahli Umno bahagian Kubang Bunggor di Pasir Mas, Kelantan dengan nombor keahlian 2374564.

Akhbar tersebut turut melaporkan terdapat seorang individu lain yang berkongsi nama yang sama dengan Timbalan Pengerusi SPR yang sebelum ini pernah menjadi ahli Umno bahagian Kubang Bunggor, Pasir Mas.

“Pembangkang sepatutnya melakukan kajian terperinci sebelum membuat sebarang pengumuman dan sekarang mereka perlu menarik semula dakwaan itu,” kata Mustapha.

Artikel Sebelum

Artikel Lain