suria

Polis Akan Ambil Tindakan Terhadap Penganjur Himpunan Tanah Rakyat

JOHOR BAHARU: Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur Himpunan Tanah Rakyat yang diadakan di Plaza Angsana, di sini hari ini kerana melanggar peraturan yang ditetapkan di dalam Akta Perhimpunan Aman 2011.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Ruslan Hassan berkata penganjur perhimpunan seharusnya menghantar notis perhimpunan 10 hari sebelum tarikh penganjuran tetapi mereka hanya menghantar notis tersebut semalam.

Beliau berkata pihak penganjur juga tidak mendapat kebenaran daripada pengurusan Plaza Angsana, UDA Holdings Bhd untuk melakukan perhimpunan di lokasi tersebut.

"UDA Holdings juga telah membuat satu laporan polis pada minggu lalu mengenai perkara ini. Kita akan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Himpunan Tanah Rakyat yang dianjurkan Gabungan Tanah Rakyat (Tanah) yang mulanya menyasarkan kehadiran peserta seramai 30,000 orang bagaimanapun gagal apabila hanya disertai kira-kira 500 peserta sahaja.

Perhimpunan itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin pembangkang termasuk Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.- BERNAMA

Artikel Lain