suria

Pemandu Kontena Tamatkan Protes

KLANG: Pemandu kontena pada Sabtu akhirnya menghentikan protes bagi membantah kenaikan caj yang dikenakan pemilik depot terhadap mereka bagi menghantar atau mengambil kontena di Pelabuhan Klang.

Selepas tiga hari mengadakan protes di luar pelabuhan itu, kesemua pemandu kontena kembali bekerja pada Sabtu selepas bersetuju dengan memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa pengendali depot.

Perjanjian itu menyatakan caj perkhidmatan untuk menghantar dan mengambil kontena ke depot akan dikenakan terhadap syarikat pengangkutan dan bukannya pemandu.

Seorang pemandu yang enggan dikenali berkata dia berpuas hati dengan MoU tersebut.

"Protes kami berhasil. Pihak berkuasa Pelabuhan Klang berikan apa yang kami tuntut. Tapi sekarang kami harap pelaksanaannya tidak dilengahkan," katanya.

Tinjauan di Bandar Sultan Sulaiman di mana kumpulan pemandu kontena mengadakan protes sejak tiga hari lalu menunjukkan situasi kembali normal.

Artikel Lain