suria

Panel Penasihat Bebas Ditubuh Tangani Kebimbangan Semua Pihak

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Panel Penasihat Bebas sejajar dengan ketetapan Jemaah Menteri, bagi menangani segala kebimbangan daripada semua pihak termasuk orang awam dan pihak media berikutan perhimpunan di ibu negara, pada Sabtu lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata rusuhan jalanan berikutan perhimpunan tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan keselamatan serta kebimbangan di kalangan masyarakat berhubung tindakan perusuh dan juga pihak keselamatan.

"Jemaah Menteri pada mesyuarat Rabu lepas, telah memberi penekanan tentang perlunya kerajaan mengambil langkah-langkah serta tindakan yang perlu untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam berikutan demonstrasi itu.

"Sejajar dengan ketetapan Jemaah Menteri, kerajaan telah membuat keputusan untuk menubuhkan panel tersebut," katanya.

Katanya keanggotaan serta bidang kuasa panel itu sedang diperhalusi dan akan diumumkan dalam jangka masa terdekat.

Hishammuddin berkata matlamat utama penubuhan panel itu sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan iaitu untuk menerima pandangan serta cadangan umum.

"Penubuhannya juga adalah langkah nyata dalam menzahirkan iltizam kerajaan untuk mempertahankan hak serta kebebasan rakyat negara ini," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain