suria

Panel Khas Siasat Perhimpunan Demi Keadilan Semua Pihak

KOTA BHARU: Panel khas yang akan ditubuhkan bagi menyiasat semua insiden berkaitan perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan dan disokong pembangkang di ibu negara Sabtu lepas adalah untuk keadilan kepada semua pihak tanpa sebarang prejudis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dengan wujudnya panel itu yang akan diumumkan minggu depan, ia akan membolehkan semua pihak mengutarakan pendapat dengan bukti masing-masing.

"Kita mahukan kebenaran, keadilan dan pembelaan dalam perkara ini. Pembelaan dan kebenaran ini bukan sahaja kepada polis tetapi kepada pihak media dan orang ramai.

"Panel ini akan melihat secara keseluruhan mengenai perhimpunan itu dan ia akan berjalan dengan lancar dan adil," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di sini, Jumaat.

Pelancaran pusat berharga lebih RM140 juta itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penubuhan panel khas itu diumumkan Najib dua hari lepas selaras dengan keputusan Jemaah Menteri supaya segala yang berlaku pada perhimpunan itu disiasat dengan rapi.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan mereka yang melanggar undang-undang akan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Kita akan melihat daripada segala sudut. Pihak polis telah menyiasat perkara ini dengan teliti. Kita mahu orang ramai melihat perkara ini tanpa sebarang prejudis, emosi dan fitnah," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada panel khas itu sama ada sebagai saksi atau pemberi maklumat terhadap insiden berkenaan.

"Yang penting kita mahu tegakkan kebenaran," katanya.

Hishammuddin berkata, apa yang berlaku telah berlaku dan beliau tetap konsisten dengan pendirian untuk melihat ke hadapan bersandarkan keluhuran undang-undang. - BERNAMA

Artikel Lain